APA yang terkandung di dalam ‘La ilaha’ ( Tiada Tuhan ) adalah tidak wujud, kosong dan bathil.
Maka menurut jumhur ulama sufi ini perlu dinafikan. Penafian itu harus dilakukan ketika kita masih bernafas dan hidup di dunia ini.
Samalah seperti seorang yang memilih beriman, kufur atau kafir adalah bermula di dunia ini juga.
Penafian yang baru hendak dilakukan ketika nyawa sudah hampir tamat di kerongkong adalah penafian yang sia-sia. Begitupun segala taubat pada ketika itu tidak akan diterima Allah.
Justeru itu, hargailah anugerah hidup di dunia ini walaupun masanya cuma singkat dan sementara.
Jangan sia-siakan nafas yang keluar dan nafas yang masuk selagi badan dikandung hayat. Nafas yang keluar menjadi puji-pujian bagiNya. Dan nafas yang masuk menjadi Sholat Haqiqi kepadaNya.
Tutupkan sejenak semua pintu masuk pancaindera kecuali kedua lubang pernafasan hidung. Bayangkan diri ini bernyawa tanpa jasad yang menuju jalan yang lurus, tetapi jalan itu hanya ada di dalam diri.
Bagi seorang sufi penafian itu cukup hanya sekali. Penafian itu bukan letaknya di lidah. Jika di lidah, hanya lidah itu sahaja yang dapat menafaatnya. Penafian itu bukan juga di akal. Jika di akal, akal itu sahaja yang dapat menafaatnya dengan sekadar tahu dan faham melalui maklumat.
Tetapi penafian itu haruslah dilakukan dalam penyaksian hati yang di dalamnya ada matahati. Ini dinamakan Syuhud. Dalam matahati itulah adanya Baitullah Yang Haqiqi, Arafah atau Haji bagi orang yang Arifbillah dalam Wuquf bertemu Allah.
Bagi orang awam mungkin penafian itu perlu berkali-kali, kerana penafiannya belum tentu dapat membawanya sampai syuhud mengenal Allah dengan sebenar-benarnya syuhud.
Itsbatul yakin hanya kepada Allah - illalLah. Yang Ujud, Yang Hidup dan Yang Berbuat hanya Allah. Yang menamakan DiriNya Allah itulah sebenar-benar AKU DZAT sebagai hakikat segala yang maujud. AKU DZAT inilah sebagaimana dijelaskan di dalam Al-Quran:
“Sesungguhnya AKU inilah Allah. Tiada yang Ujud melainkan AKU. Beribadahlah kepadaKu dan dirikanlah sholat untuk mengingati AKU.”
[Q.S. Thaha: 14]
“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang AKU, maka katakanlah sesungguhnya AKU dekat.”
[Q.S. Al-Baqarah: 186]
.
Yang Ujud hanya ada satu AKU sahaja. Tidak ada aku yang lain. Malah AKU bukan Cahaya. AKU bukan Ruh. Cahaya, Ruh, Rahsia, Qalbu dan Jasad walaupun dari AKU tetapi bukan AKU yang sejati.
Semua itu adalah manifestasi AKU untuk menampakkan UjudKu. Semua itu adalah tabirKu di antara gelap dan terang selaksa tujuh puluh ribu tabir, termasuklah ibu-bapa yang melahirkan keturunannya juga adalah tabirKu.
Semua tabirKu itu pada hakikatnya adalah kosong, bathil dan persangkaan. Semua tabirKu itu adalah Mi’ratul Hayat (Cermin Hidup) yang di dalamnya adalah gambaran air sungai kehidupan yang berwarna kegelapan.Yang melihat AKU adalah AKU. Yang mengenal AKU adalah AKU. Yang mengingati AKU adalah AKU. Yang memuji AKU adalah AKU. Yang beribadah itu pun AKU.
AKU adalah Al-Haq yang meliputi ciptaanKu dengan QudratKu. Sebelum AKU ingin dikenali AKU adalah suatu perbendaharaan yang tersembunyi dan batin dalam DzatKu Yang Mutlak.
AKU adalah kenyataan BatinKu iaitu HUWA (DIA Dzat) yang bersemadi dalam Ghuyub al-Ghuyub (Ghaib lagi Ghaib tidak diketahui). AKU adalah Yang Tunggal dan Hidup. HidupKu itu Maha Kaya dengan tujuh Sifat Maani tetapi Esa dalam WahdatKu – Ghaib al Ghuyub (SifatKu telah nyata tetapi ghaib dalam BatinKu).
AKU bukan Cahaya tetapi Cahaya ada pada WahdahniyahKu – Ghaib al Ghaib (Namaku telah nyata tetapi semua hakikat benda masih tersembunyi dalam NamaKu).
AKU ibarat minyak yang tersembunyi dan terahsia dalam relung Pelita. Pelita itu adalah Alif yang menyatakan UjudKu. Tiada yang Ujud selain AKU. Pelita yang menzahirkan Cahaya Yang Terpuji (MUMAMMAD). Cahaya Yang Terpuji tersebar melalui Kaca yang terang-gemilang dan itulah RuhKu. RuhKu tampak pada Diri Terdiri, Diri Terperi dan Diri Tajalli seumpama teguhnya Pohon Khuldi yang menumbuhkan Buah Terlarang.
Untuk mengenal Diri yang sebenar Diri itulah AKU yang ada dalam Misykat Sufi. AKU bukan Cahaya, bukan Ruh, bukan Qalbu, bukan Jasad. AKU adalah Haqiqat segala makhluqat. AKU adalah Engkau dan Engkau adalah AKU, tetapi Engkau bukanlah Engkau sendiri. Engkau adalah kosong dan batil yang bernama Manusia!
" Awal agama mengenal ALLAH. Akhir agama mengenal AKU "